Najib Urus Negara Seperti Urus Syarikat Sendiri

Di terbitkan pada Tuesday 20 March 2012 dan difailkan di bawah berita , . Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui RSS 2.0 . Anda boleh meninggalkan respons atau trackback ke entri ini dari laman anda


PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menganggap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tahu mengurus negara kerana tidak faham maslahat rakyat dengan terus merahsiakan tarikh pilihanraya umum dari pengetahuan rakyat. Bagi PAS WP, mungkin Najib menganggap negara ini kepunyaan beliau seorang sehingga beliau tidak sanggup berkongsikan tarikh pilihanraya kepada umum. Beliau tidak sedar bahawa negara ini dikongsi oleh sejumlah 27 juta rakyat Malaysia, sebahagiannya adalah pengundi yang sah dan berdaftar.

Najib tidak sedar bahawa rakyat Malaysia mempunyai jadual hidup mereka sendiri. Kehidupan rakyat bukan seperti kehidupan Perdana Menteri yang serba serbi diuruskan oleh pembantu-pembantu beliau. Rakyat tidak boleh hanya tunggu di depan kaca TV menanti tarikh pembubaran parlimen untuk mengisi jadual mereka. Mereka ada keluarga, ada kehidupan, ada kerjaya, peniagaan, pelajaran dan lain-lain lagi.

Tidakkah Najib mengetahui dengan merahsiakan tarikh pilihanraya menjadikan negara dalam keadaan caca merba. Jadual hidup rakyat akan bercempera dengan sikap beliau begitu. Bayangkan rakyat yang sudah merancang sekian lama dengan jadual mereka yang pelbagai itu, seperti mengadakan kenduri kahwin sanak saudara, yang telah menempah tiket penerbangan menunaikan umrah atau haji, atau ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran, perniagaan dan lain-lain lagi, tiba-tiba terpaksa membatalkannya saat akhir untuk menyertai pilihanraya di negara ini. Najib mungkin tidak pernah terfikir berapa kos kerugian rakyat yang terpaksa membatalkan segala aktiviti mereka kerana pilihanraya mengejut.

Malaysia pula mengamalkan konsep demokrasi berparlimen di mana terdapat banyak parti-parti politik yang berdaftar. Parti politik ini pula adalah pelanggan tetap pilihanraya umum di negara ini. Setiap parti politik berhak mengetahui tarikh bubar parlimen dan tarikh mengundi untuk persiapan mereka. PAS WP menganggap kerahsiaan Najib menandakan suatu pengkhianatan beliau terhadap parti-parti politik yang sah. Sudah tentu Najib akan memilih tarikh yang paling sesuai bagi partinya dalam keadaan sedia manakala parti lawan dalam keaadaan tidak bersedia. Ibarat seorang pengadil yang melepaskan satu perlumbaan tatkala sesetengah pelumba sudah bersedia dan pelumba lain sedang terkial-kial menyiapkan persiapan.

Mungkin juga Najib merasakan beliau sedang menguruskan sebuah syarikat besar milik peribadinya. Beliau menganggap berkongsi tarikh pilihanraya sama seperti berkongsi rahsia ramuan minuman Coca-Cola yang menjadi kegilaan pelanggan seluruh dunia. Beliau tidak faham bahawa beliau diberi amanah oleh rakyat Malaysia untuk menguruskan negara, bukan menguruskan negara seperti mengurus syarikat miliknya sendiri.


Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan 

0 Responses for “ Najib Urus Negara Seperti Urus Syarikat Sendiri”

Leave a Reply

Recently Commented

Recent Entries

Photo Gallery